Pesuruhjaya Data Peribadi (“Pesuruhjaya PDP”) memperakui bahawa setiap Pengguna Data mempunyai amalan niaga yang berbeza dan beroperasi dari lokasi perniagaan yang berlainan. Pesuruhjaya PDP memberi budi bicara dan kelonggaran am kepada setiap Pengguna Data untuk menangani sebarang isu yang timbul di bawah TA, dengan syarat bahawa Pesuruhjaya PDP mestilah dirujuk sebelum mana-mana Pengguna Data melaksanakan apa-apa tindakan di luar skop TA. Pesuruhjaya PDP hendaklah memaklumkan kepada Pengguna Data sebarang keputusan dalam tempoh yang munasabah selepas perundingan, dan sekiranya tidak, perkara tersebut hendaklah disifatkan sebagai telah diluluskan oleh Pesuruhjaya PDP.
TA disediakan oleh Pengguna Data di bawah Seksyen 23(1)(b) APDP dan terpakai kepada Sektor Utiliti (Elektrik) iaitu Tenaga Nasional Berhad (“TNB”), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (“SESB”) dan Syarikat SESCO Berhad (“SESCO”) dengan kelulusan Pesuruhjaya PDP dan mengambil kira pandangan Suruhanjaya Tenaga Malaysia serta Kementerian Utiliti Sarawak.
Pematuhan TA menjadi suatu pembelaan kepada TNB, SESB dan SESCO terhadap apa-apa tindakan, pendakwaan atau prosiding, sama ada secara litigasi, tribunal pentadbiran atau penyelesaian pertikaian alternatif untuk satu atau lebih dakwaan pelanggaran APDP. Pembelaan tersebut juga terpakai kepada sesuatu tempat di luar Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan data, perundangan khusus atau sekiranya perundangan itu dianggap sebagai tidak mencukupi berhubung dengan Pemprosesan Data Peribadi.