Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) telah menandatangani satu Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Personal Data Protection Authority (KVKK) Turkiye di Istanbul, Turkiye pada 7 Jun 2024 (waktu Malaysia). Pesuruhjaya PDP, Prof. Dr. Mohd Nazri bin Kama telah menandatangani MOC tersebut bersama Presiden KVKK Turkiye, Prof. Dr. Faruk Bilir sambil disaksikan oleh pegawai-pegawai daripada kedua-dua pihak.
Memorandum ini direalisasikan susulan daripada wakil delegasi KVKK Türkiye yang berkunjung ke Putrajaya pada 15 Januari 2024 yang lalu. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak bersetuju antara lain untuk :
- Pertukaran maklumat tentang pengalaman berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang perlindungan data peribadi;
- Pertukaran hasil penyelidikan, kajian, analisis, dan sebagainya dalam bidang perlindungan data peribadi;
- Pertukaran kepakaran untuk tujuan pembangunan profesional pada tahap yang lebih besar;
- Kerjasama dalam bidang latihan profesional (kelayakan), perundingan, seminar, bengkel, lawatan sambil belajar dan lawatan pakar.
Kerjasama ini diharapkan dapat membantu Pejabat Pesuruhjaya PDP meningkatkan keupayaan dalam penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi [Akta 709] ke tahap yang lebih baik.