Notis Perlindungan Data Peribadi merupakan suatu penyataan bertulis yang diterbitkan oleh pengguna data bagi memaklumkan kepada subjek data bagaimana pengendalian pemprosesan data peribadinya dilaksanakan. Subjek data memerlukan maklumat berhubung tatacara pemprosesan data peribadinya daripada pengguna data supaya dapat membuat pilihan tepat sebelum menyerahkan data peribadinya untuk tujuan tertentu seperti mendapatkan servis atau produk yang ditawarkan oleh pengguna data. Berdasarkan seksyen 7 Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), notis ini adalah elemen wajib yang perlu disediakan oleh pengguna data yang memproses data peribadi, tanpa mengira jenis, bentuk dan saiz perniagaan. Tinjauan rambang kepada persekitaran masa kini mendapati pelbagai jenis dan bentuk Notis PDP telah dikeluarkan oleh pengguna data bagi tujuan mematuhi kehendak Akta 709. Namun, adakah penyediaan notis pemakluman tersebut berjaya mencapai maksud Akta ini? Adakah notis pemakluman yang disediakan dapat meningkatkan keberkesanan pemahaman subjek data terhadap tatacara pemprosesan data peribadi oleh pihak pengguna data? Penelitian juga mendapati terdapat pengguna data yang masih tidak pasti cara untuk menyediakan notis pemakluman dan bagaimana mengendalikan notis pemakluman tersebut.