AKTIVITI PENGUATKUASAAN TERHADAP GOLONGAN PENGGUNA DATA YANG TIDAK BERDAFTAR DI BAWAH SEKSYEN 16(4) AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010
Pasukan Penguatkuasa Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) telah mengadakan Aktiviti Penguatkuasaan Terhadap Pengguna Data yang Tidak Berdaftar bagi Golongan Kesihatan di bawah Seksyen 16(4) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] pada 22 Ogos 2024 di Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan membuat semakan sijil perakuan pendaftaran pengguna data serta pemeriksaan terhadap ruang penyimpanan data peribadi oleh pasukan penguatkuasa PDP. Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati Pengguna Data telah memproses data peribadi tanpa memiliki Perakuan Pendaftaran yang sah daripada Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.
Golongan Kesihatan yang memegang lesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Swasta 1998 [Akta 586], pemegang Perakuan Pendaftaran di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Swasta 1998 (Klinik Perubatan & Pergigian Swasta), Pertubuhan Perbadanan yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 [Akta 371] merupakan 13 Golongan Pengguna Data yang wajib berdaftar di bawah Akta 709 dan wajib patuh kepada Akta ini.