PEMBAHARUAN PENDAFTARAN

Seksyen 17. Pembaharuan perakuan pendaftaran

  1. Seseorang pengguna data boleh membuat suatu permohonan bagi pembaharuan perakuan pendaftaran tidak lewat daripada sembilan puluh hari sebelum tarikh habis tempoh perakuan pendaftaran itu mengikut cara dan dalam bentuk yang ditentukan oleh Pesuruhjaya dan permohonan itu hendaklah disertai dengan fi pembaharuan yang ditetapkan dan apa-apa dokumen yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya, tetapi tiada permohonan bagi pembaharuan boleh dibenarkan jika permohonan itu dibuat selepas tarikh habis tempoh perakuan pendaftaran itu.
  2. Apabila membaharui suatu perakuan pendaftaran, Pesuruhjaya boleh mengubah syarat atau sekatan yang dikenakan semasa perakuan pendaftaran itu dikeluarkan atau mengenakan syarat atau sekatan tambahan.
  3. Pesuruhjaya boleh enggan untuk membaharui suatu perakuan pendaftaran—
  • jika pengguna data itu tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta ini;
  • jika pengguna data itu tidak mematuhi apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan semasa perakuan pendaftaran  itu dikeluarkan; atau
  •  jika dia berpuas hati bahawa pengguna data itu tidak boleh meneruskan pemprosesan data peribadi mengikut Akta ini.

PEMBATALAN PENDAFTARAN

Seksyen 18. Pembatalan pendaftaran

  1. Pesuruhjaya boleh membatalkan pendaftaran seseorang pengguna data jika Pesuruhjaya berpuas hati bahawa—
    (a) pengguna data itu tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta ini;
    (b) pengguna data itu tidak mematuhi apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan semasa perakuan pendaftaran itu dikeluarkan;
    (c) pengeluaran perakuan pendaftaran itu didorong oleh representasi fakta yang palsu oleh pengguna data itu; atau
    (d) pengguna data itu telah berhenti menjalankan pemprosesan data peribadi.
  2. Walau apa pun subseksyen (1), Pesuruhjaya tidak boleh membatalkan pendaftaran seorang pengguna data melainkan jika Pesuruhjaya berpuas hati bahawa, selepas memberi pengguna data itu peluang untuk membuat apa-apa representasi bertulis yang dihasratinya untuk dibuat, pendaftaran itu patut dibatalkan.
  3. Jika pendaftaran pengguna data itu dibatalkan, Pesuruhjaya hendaklah mengeluarkan suatu notis pembatalan pendaftaran kepada pengguna data itu, dan perakuan pendaftaran yang dikeluarkan berkenaan dengan pendaftaran itu tidaklah mempunyai kuat kuasa apabila disampaikan notis pembatalan pendaftaran itu.
  4. Seseorang pengguna data yang pendaftarannya telah dibatalkan di bawah seksyen ini dan yang terus memproseskan data peribadi selepas itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya.