PERBINCANGAN PROGRAM SATU PEMIMPIN SATU KAMPUNG (SANTUNI MADANI)
YBrs. Profesor Dr. Mohd Nazri bin Kama, Ketua Pengarah merangkap Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi telah turun padang untuk bertemu dengan penduduk Kampung Pekan Lama, Sungkai, Perak pada 5 September 2024.
Kampung ini telah dipilih dalam Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) yang merupakan tempat kelahiran YBrs. Prof. Dr. Mohd Nazri bin Kama.
Perbincangan ini merupakan satu kaedah dalam usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk kampung. Selain itu, lawatan ini juga dapat memperkaya sikap cakna pemimpin yang sentiasa menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung.
Antara pengisian lawatan ini adalah perbincangan bersama dengan Ketua-ketua Kampung di Mukim Sungkai serta lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sungkai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai. Hasil daripada lawatan ini, beberapa isu telah dikenalpasti antaranya isu infrastruktur yang perlu ditambah baik.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada Ketua-ketua Kampung di Mukim Sungkai atas kerjasama yang diberikan kepada pemimpin bagi memperkasa usaha dan inisiatif ke arah kemajuan dan kesejahteraan penduduk kampung khususnya.