PERMOHONAN UNTUK PENDAFTARAN

Seksyen 15. Permohonan untuk pendaftaran

  1. Seseorang yang berada dalam golongan pengguna data yang dinyatakan dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen 14(1) hendaklah mengemukakan suatu permohonan untuk  pendaftaran kepada Pesuruhjaya mengikut cara dan dalam bentuk yang ditentukan oleh Pesuruhjaya.
  2. Tiap-tiap permohonan untuk pendaftaran hendaklah disertai dengan fi pendaftaran yang ditetapkan dan apa-apa dokumen sebagaimana yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya.
  3. Pesuruhjaya boleh secara bertulis pada bila-bila masa selepas menerima permohonan dan sebelum permohonan itu diputuskan, menghendaki pemohon untuk memberikan apa-apa dokumen atau maklumat tambahan dalam tempoh masa yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya.
  4. Jika kehendak di bawah subseksyen (3) tidak dipatuhi, permohonan untuk pendaftaran hendaklah disifatkan telah ditarik balik oleh pemohon dan tidak boleh diteruskan oleh Pesuruhjaya, tetapi tanpa menjejaskan suatu permohonan baru dibuat oleh pemohon.

PERAKUAN PENDAFTARAN

Seksyen 16. Perakuan pendaftaran

  1. Selepas pertimbangan yang sewajarnya diberikan kepada suatu permohonan di bawah subseksyen 15(1), Pesuruhjaya boleh—
    (a) mendaftarkan pemohon dan mengeluarkan suatu perakuan pendaftaran kepada pemohon itu dalam apa-apa bentuk yang ditentukan oleh Pesuruhjaya; atau
    (b) menolak permohonan itu.
  2. Perakuan pendaftaran boleh dikeluarkan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang difikirkan wajar untuk dikenakan oleh Pesuruhjaya.
  3. Jika Pendaftar menolak permohonan untuk pendaftaran menurut subseksyen (1), dia hendaklah memaklumkan pemohon melalui suatu notis bertulis bahawa permohonan itu ditolak dan sebab-sebab baginya.
  4. Seseorang yang berada dalam golongan pengguna data yang dinyatakan dalam perintah yang dibuat di bawah subseksyen 14(1) dan yang memproses data peribadi tanpa suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan menurut perenggan 16(1)(a) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya.