Alor Setar, 10 September 2024 – Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PPDP) telah menganjurkan Persidangan Perlindungan Data Peribadi [Akta 709] di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar dalam usaha memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran kepada Pengguna Data mengenai kepentingan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.
YBrs. Profesor Dr. Mohd Nazri bin Kama, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi berkata, persidangan ini merupakan salah satu inisiatif PPDP dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan data peribadi dalam kalangan Pengguna Data.
Profesor Dr. Mohd Nazri bin Kama turut berkata, Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi kini sedang ke arah pengukuhan institusi PPDP kepada sebuah Suruhanjaya selari dengan hasrat YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital, untuk melindungi data peribadi rakyat Malaysia. Hasrat ini adalah untuk memastikan tindakan penguatkuasaan terhadap insiden pelanggaran data dapat diperkasakan.
Persidangan ini telah dimulakan dengan Sesi Teh Tarik Bersama Pesuruhjaya dan sesi perkongsian oleh Encik Mohamad Azrul bin Azmi, Penolong Pesuruhjaya, Seksyen Hal Ehwal Pengguna Data dengan topik Pengenalan Akta 709: Prinsip & Standard Perlindungan Data Peribadi. Sesi kedua perkongsian bertajuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010: Dari Sudut Penguatkuasaan telah disampaikan oleh Dr. Muhammad Sufyan bin Basri, Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemantauan.
Persidangan ini merupakan persidangan kali kelima yang dianjurkan oleh Seksyen Hal Pengguna Data (HEPD). Persidangan ini telah dihadiri oleh kira-kira 150 orang peserta melibatkan Pengguna Data yang telah berdaftar dan belum berdaftar dengan PPDP, antaranya dari sektor perbankan, telekomunikasi, hartanah, sekolah swasta, institut pengajian tinggi swasta, perhotelan, pajak gadai dan pemberi pinjam wang.